MDSTP mampu tarik pelaburan RM15b
Quote:
PROJEK Taman Teknologi Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MDSTP) yang akan dimajukan di tapak seluas 485 hektar di Sungkai, Perak berpotensi menarik pelaburan berjumlah RM15 bilion serta mewujudkan 50,000 peluang pekerjaan baru. Projek industri pertahanan pertama seumpamanya di ASEAN yang akan dimajukan secara usaha sama antara Kementerian Pertahanan dengan syarikat tempatan Masterplan Consulting Sdn Bhd itu, bertujuan menyediakan sebuah kawasan perindustrian bertaraf dunia yang khusus untuk penjanaan inovasi dan teknologi dalam bidang berkaitan pertahanan.
Dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.4 bilion MDSTP akan dimajukan dalam tiga fasa bagi tempoh 12 tahun dan dilengkapi prasarana yang terbaik, meliputi pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D), komersial, universiti serta kawasan perindustrian.
Ia disasarkan untuk menarik pelaburan dalam enam sektor iaitu avionik dan aeroangkasa, automotif, maritim, senjata, ICT serta pengguna biasa yang memberi sokongan kepada industri pertahanan.
Ketua Eksekutif Masterplan Consulting, Datuk Ahmad Faris Abdul Halim, berkata pembangunan fasa pertama projek di tapak seluas 223 hektar itu akan dimulakan akhir tahun ini.
Ia, katanya akan membabitkan pembangunan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D), bangunan utama, pusat komersial, universiti dan kawasan perindustrian.
"Pembangunan fasa pertama dengan GDV RM756 juta ini dijangka mengambil masa selama lima tahun untuk disiapkan.
"Fasa kedua pula dijangka mengambil masa selama empat tahun dan fasa ketiga selama tiga tahun membabitkan pembangunan pusat logistik, kawasan PKS serta penambahan kawasan industri tertentu dengan GDV masing-masing sebanyak RM368 juta dan RM396 juta," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur semalam.
Hadir sama Ketua Pegawai Operasinya, Khairul Nizam Mohd Sayuti dan Pengurus Pemasarannya, Amal Aziz.
Ahmad Faris berkata, setakat ini 500 syarikat dalam dan luar negara telah menyatakan minat untuk melabur di MDSTP.
Sumber
Cerdik mereka. Walau gak mandiri dalam hal kemiliteran, namun punya berbagai cara agar ada industri militer di negaranya